Tjen tamatkan kemarau Indonesia di Terbuka Australia

Tjen tamatkan kemarau Indonesia di Terbuka Australia

Pemain Indonesia, Janice Tjen, memukul bola balas ke arah Leylah Fernandez dari Kanada dalam aksi perseorangan wanita pada hari ketiga Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Janice Tjen mencipta sejarah selepas menumpaskan pilihan ke-22 dari Kanada, Leylah Fernandez 6-2, 7-6 (7/1) untuk menjadi pemain Indonesia pertama memenangi perlawanan Terbuka Australia dalam tempoh 28 tahun.

Pemain bukan pilihan itu mara ke pusingan kedua di Melbourne sekaligus menambah satu lagi pencapaian penting dalam kariernya yang melonjak naik sejak tahun lalu.

“Saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada sejarah dan dapat meraih kemenangan ini untuk Indonesia.

“Perasaan ini lebih istimewa kerana dapat melakukannya di hadapan keluarga saya dan ramai penyokong Indonesia yang hadir, termasuk rakan-rakan rapat,” kata Tjen selepas perlawanan.

Tjen, yang tahun lalu berada di ranking ke-413 tetapi kini menduduki tangga ke-59 dunia, membuka perlawanan dengan cemerlang dan menakluk set pertama dalam 36 minit.

Pemain Indonesia itu terus mengawal perlawanan set kedua dengan memecahkan servis lawan lebih awal dan mengekalkan kelebihan sebelum set berakhir dalam tiebreak.

Pencapaian Tjen di Melbourne menyusul kejayaannya menyingkirkan Veronika Kudermetova di Terbuka AS 2025 dan menjadi pemain Indonesia pertama sejak 2004 yang beraksi dalam pusingan utama perseorangan Grand Slam.

Kejayaan ini juga melengkapkan sejarahnya menjuarai gelaran perseorangan WTA di Chennai tahun lalu, menjadi pemain Indonesia pertama memenangi gelaran seumpama itu sejak 2002. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN