KUALA LUMPUR: Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah akhirnya memecahkan badi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 selepas menyingkirkan gandingan India, Rutaparna Panda-Swetaparna, hari ini.
Beraksi di Axiata Arena, pasangan No.2 dunia itu tampil bertenaga untuk mencatat kemenangan mudah 21-11, 21-9 ke atas pasangan adik-beradik berkenaan dalam tempoh hanya 30 minit.
Ketika diajukan soalan sama ada mereka berasa lega selepas berjaya melangkah ke pusingan kedua, Pearly dan Thinaah hanya mampu ketawa seketika, seolah-olah melepaskan tekanan yang lama terpendam.
Pearly mengakui mereka memang menyimpan rasa lega, namun pada masa sama sedar kegagalan tersingkir awal dalam tiga edisi berturut-turut sebelum ini perlu dijadikan pengajaran.
“Sebab kita pun ada fikir begitu (lega) dan memang rasa lega juga, tetapi itulah yang kami perlu perbaiki kerana sudah tiga kali kalah di pusingan pertama,” kata Pearly.
Menurutnya, kekecewaan lebih dirasai apabila penyokong tidak berpeluang menyaksikan mereka beraksi lebih jauh dalam kejohanan berprestij bertaraf Super 1000 itu.
“Kami pun kecewa sebab peminat tidak dapat lihat kami di pusingan seterusnya, jadi pada tahun ini kami benar-benar bersedia,” katanya.
Pusingan kedua esok menyaksikan Pearly-Thinaah bakal berdepan ujian lebih mencabar apabila dijadual bertemu pasangan ‘scratch pair’ Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, dalam ulangan final Sukan SEA bulan lalu.
Thinaah mengingatkan rakan gandingannya bahawa perlawanan itu bukan tugas mudah memandangkan mereka semakin mantap dan sudah bertemu sebanyak empat kali setakat ini.
“Kali terakhir kami jumpa pada final Sukan SEA dan ia bukan perlawanan yang senang, jadi kami perlu bersedia dari segi fizikal, mental dan paling penting mendapatkan rehat secukupnya,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir beregu wanita negara menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu adalah menerusi Teoh Siew Yong-Rosalind Singha Ang pada tahun 1965. – UTUSAN










