KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa menerima hakikat untuk pulang awal di laman sendiri apabila tewas pada aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, sebentar tadi.
Pemain berusia 28 tahun itu gagal mengekang wakil no.32 dunia dari India, Ayush Shetty 21-12, 21-17 dalam masa 39 minit permainan.
Prestasi hambar bekas juara All England itu jelas mencerminkan kesan panjang kecederaan yang menjejaskan momentum dan tahap kecergasan beliau sejak musim 2025.
Walaupun gagal mengekalkan rentak, Zii Jia bersyukur dapat menamatkan perlawanan sepenuhnya tanpa sebarang kecederaan baharu, menandakan langkah kembalinya ke gelanggang masih berjalan lancar dari segi keselamatan fizikal.
Selepas aksi mengecewakan di laman sendiri, Zii Jia kini dijadual berlepas ke Delhi bagi menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka India menjelang pertemuan pemain Denmark, Rasmus Gemke Selasa depan.
Kali terakhir Zii Jia beraksi di tanah air pada Malaysia Masters 2024 menyaksikan beliau meraih naib juara selepas tewas kepada Viktor Axelsen. – UTUSAN










