PETALING JAYA: Beregu No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters, selepas membenam pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje pada final di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan ketiga, juara dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas pasangan No. 10 dunia dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-17, 21-11 dalam masa 57 minit.
Kemenangan yang dicatat gandingan No. 1 Malaysia tersebut membuka laluan kepada Tang Jie-Ee Wei melebarkan rekod pertemuan ke atas Christiansen-Boje menjadi 3-1.
Sebagai juara, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$39,500 (RM157,215), pingat emas dan trofi kejohanan.
Gelaran di Indonesia Masters juga merupakan kejuaraan pertama Tang Jie-Ee Wei bagi musim 2026, selepas terkandas di suku akhir pada Terbuka Malaysia, dua minggu lepas dan di pusingan awal pada Terbuka India, minggu lalu. – UTUSAN










