KUALA LUMPUR: Kejayaan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sekurang-kurangnya mengesahkan satu wakil Malaysia mengisi slot suku akhir, selepas juara dunia itu bakal berdepan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, Khamis ini.
Dalam perlawanan peringkat 32 terbaik, hari ini, gandingan No. 4 dunia itu menewaskan pasangan No. 10 dunia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel dari Indonesia 21-12, 21-17 dalam masa 39 minit.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei semakin menjarakkan rekod pertemuan ke atas Jafar-Felisha kepada 7-0.
Beregu No. 21 dunia, Pang Ron- Su Yin terlebih dahulu menempah tempat ke peringkat 16 terbaik, selepas mereka mengejutkan beregu berpengalaman Denmark, Mathias Christiansen-Alexandre Boje yang menghuni ranking ke-12 dunia 20-22, 21-18, 21-17.
Tang Jie berkata, pertembungan sesama sendiri di pusingan kedua, sekurang-kurangnya telah menjamin satu pasangan Malaysia di suku akhir.
“Saya rasa untuk Malaysia itu satu (berita) gembira, sebab sudah ada satu wakil untuk suku akhir. Untuk kita, sesama pemain, sudah tentu kita mahu menang, jadi, kita akan cuba berikan yang terbaik untuk setiap perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.
Katanya lagi, untuk perlawanan, hari ini, komunikasi yang menjadi antara faktor kemenangan mereka ke atas pasangan Indonesia tersebut.
Justeru, Tang Jie berharap, mereka dapat kekal konsisten dan terus memberikan prestasi yang cemerlang untuk pusingan seterusnya.
Mengulas mengenai kemenangan ketujuh berturut-turut ke atas Jafar-Felisha, Tang Jie berkata, walaupun kali ini mereka meraih kemenangan straight set, tetapi gandingan Indonesia itu masih menjadi pencabar yang kuat buat mereka.
Sementara itu, Ee Wei pula mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang sanggup hadir ke stadium seawal pusingan pertama lagi.
“Saya seronok, sebab banyak orang walaupun baru hari pertama, tetapi, stadium sudah penuh, jadi, kami akan cuba berikan yang terbaik untuk setiap mata dan setiap perlawanan,” katanya. – UTUSAN










