Suami mahu kerajaan bantu cari Nadia Kesuma

Suami mahu kerajaan bantu cari Nadia Kesuma

MUHAMMAD Kamarul sebak ketika berkongsi cerita mengenai kehilangan isterinya semasa ditemui pemberita di kediamannya di Kepala Batas, Pulau Pinang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Suami kepada aktres, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, atau Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi, Rabu lalu, mahu kerajaan membantu menggerakkan usaha diplomatik bagi membantu pencarian wanita itu ketika ini.

Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah berkata, hal ini kerana proses siasatan di negara itu memerlukan banyak prosedur dan agak rumit sekali gus menyukarkan usaha untuk mengesan isterinya itu di sana.

Muhammad Kamarul berkata, ahli keluarga isterinya juga telah membuat laporan mengenai kehilangan wanita tersebut kepada Wisma Putra serta Konsulat Malaysia di Jeddah bagi melancarkan urusan pencarian di Arab Saudi.

“Saya bukan sesiapa, tetapi, jika (ada) menteri atau kerajaan Malaysia yang boleh ‘step-in’ (campur tangan) termasuk dengan menggerakkan usaha diplomatik, saya rasa ini lebih mudah.

“Lagipun, ini sudah masuk hari ketiga (Nadia dilaporkan hilang) dan jika semakin lewat tindakan diambil maka semakin banyak kemungkinan boleh berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Nadia yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik sebelum ini gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz semasa menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris bersama seramai 21 orang jemaah lain.

Berita kehilangan wanita itu dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga merupakan Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah.

Dalam pada itu, Muhammad Kamarul berkata, isterinya seorang wanita yang suka mengembara dan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini setiap kali berada di luar negara kepada dia atau anak-anak dan bukan seorang wanita yang cuai atau lepas tangan.

“Isteri saya juga sudah banyak kali terlibat dengan urusan perjalanan antarabangsa termasuk umrah sebelum ini,” katanya yang berharap agar urusan pencarian wanita itu sentiasa dipermudahkan.

Nadia yang juga merupakan ibu kepada empat cahaya mata itu mempunyai tiga anak berusia antara 11 hingga 15 tahun bersama Muhammad Kamarul serta seorang anak perempuan berusia 25 tahun hasil perkahwinannya sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN