Guru besar, isteri ditemukan maut dengan kecederaan serius

Guru besar, isteri ditemukan maut dengan kecederaan serius di rumah

PASUKAN polis membawa mayat mangsa dari rumah untuk dibawa ke Hospital Sri Aman bagi bedah siasat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRI AMAN: Seorang guru besar dan isterinya ditemukan maut dengan kesan kecederaan serius di rumah mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasangan berusia 45 dan 44 tahun itu dijumpai tidak sedarkan diri oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman kira-kira pukul 6.55 pagi.

“Pasukan dari IPD Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman telah segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zainal berkata, motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengumpul bukti serta keterangan saksi sedang giat dijalankan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Kalang di talian 019-3317785 atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Sri Aman atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menerusi hantaran di Facebook mengesahkan mangsa merupakan Guru Besar di SK Sbangki.

“Ucapan takziah dari warga Pendidikan Sarawak kepada keluarga Cikgu Andy Roy Anak Junran, Guru Besar, PPD Lubok Antu yang telah meninggal dunia pada hari Rabu, 14 Januari 2026.

“Jabatan ini kehilangan seorang pemimpin sekolah yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasan dan amanah dalam meningkatkan serta memartabatkan pendidikan negara.

“Semoga mendiang bersemadi dengan aman dan keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan dan ketabahan. Semoga dipermudahkan semua urusan,” katanya.

Pengarah Hospital Sri Aman, Dr. Hazwani Mohd. Yusop juga menerusi hantaran di laman Facebook Hospital Sri Aman turut menzahirkan ucapan takziah kepada isteri mangsa, Angeline Kibin yang merupakan jururawat di hospital berkenaan.

“Kami amat berdukacita atas pemergian insan yang sangat disayangi ini,” katanya.

Menurutnya, sepanjang perkhidmatan di Hospital Sri Aman, mendiang dikenali sebagai seorang yang baik budi pekerti, berdedikasi serta komited dalam menjalankan tugas, sentiasa melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, profesionalisme dan rasa tanggungjawab yang tinggi.

“Kehilangan beliau merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga hospital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN