Soon Huat-Shevon wakil tunggal beregu campuran ke suku akhir

Soon Huat-Shevon wakil tunggal beregu campuran ke suku akhir

GOH Soon Huat-Shevon Lai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengesahkan slot suku akhir menjadi milik mereka, tetapi, beregu campuran No. 2 Malaysia itu bakal berdepan ujian getir menentang pasangan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India, esok.

Pada pusingan kedua, hari ini, gandingan No. 10 dunia itu menewaskan beregu Thailand yang menghuni ranking ke-13 dunia, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 17-21, 21-15, 21-6 dalam masa 52 minit.

Kejayaan tersebut mengekalkan Soon Huat-Shevon di kedudukan pendahulu menerusi rekod pertemuan 3-1 ke atas Ruttanapak-Jhenicha.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Shevon berkata, pada set pertama mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan rentak permainan, manakala, lawan pula bermain dengan baik.

“Set kedua, kami berjaya mengawal perlawanan dan keseluruhan momentum, jadi, kami berhasil mencipta kebangkitan.

“Sewaktu set ketiga pula, saya rasa beregu lawan mungkin hilang fokus serta momentum, jadi, kami berjaya memenangi pertemuan itu dengan agak mudah,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Untuk perlawanan suku akhir, pasangan suami isteri itu tidak mempunyai rekod baik ke atas beregu handalan China, Yan Zhe-Dong Ping apabila mereka tewas dalam kesemua empat pertemuan sebelum ini.

Cuma pada pertembungan terakhir di Jelajah Dunia Akhir dekat Hangzhou, China, Disember lalu, walaupun kalah, Soon Huat-Shevon berjaya menghadirkan tentang sengit sebelum tewas tipis 25-23, 11-21, 20-22.

Yan Zhe-Dong Ping mara ke suku akhir selepas mengalahkan beregu Malaysia, Jimmy Wong-Lai Pei Jing 18-21, 21-17, 21-10 dalam masa 55 minit.

Soon Huat-Shevon merupakan wakil tunggal Malaysia yang berjaya mara ke suku akhir dalam sektor beregu campuran, selepas rakan senegara yang lain termasuk juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN