KUALA LUMPUR: Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lain kini bersaing dengan masa yang amat ‘mencemburui’ mereka menjelang Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, Selasa ini, ekoran masalah kesihalan yang melanda beregu campuran No. 9 dunia itu.
Cabaran pasangan suami isteri itu pada Terbuka Malaysia telahpun menemui titik noktah pada pusingan kedua, selepas tumpas kepada gandingan ke-32 dunia, Presley Smith-Jennie Gai dari Amerika Syarikat 9-21, 17-21 dalam masa 35 minit, kelmarin.
Kegagalan itu sekali gus telah menutup ruang buat Soon Huat-Shevon mengulangi kecemerlangan edisi lalu apabila mereka berjaya mara sehingga ke separuh akhir sebelum tewas kepada beregu handalan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Soon Huat berkata, fokusnya kini adalah memastikan Shevon sihat terlebih dahulu kerana dia masih mengalami masalah muntah-muntah dan cirit-birit.
“Sekurang-kurangnya dia sudah boleh makan, tetapi, perlukan sedikit masa untuh pulih sepenuhnya. Dia muntah dan sikit cirit-birit, tetapi, hari ini (kelmarin) sudah semakin baik, cuma tahap kecergasan belum pulih,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, kelmarin.
Kata Soon Huat, fokus utamanya kini ialah pada kejohanan bersatus Super 750, Terbuka India yang bermula pada Selasa dan proses pemulihan amat diperlukan terutama untuk Shevon yang terjejas kecergasannya.
“Pertama kena jaga keadaan fizikal dulu dan Shevon kena sembuh itu fokus utama kami dan selepas itu, baru fikir Terbuka India, minggu depan,” katanya.
Soon Huat mengakui, program latihan tetap berjalan seperti biasa dan dengan situasi Shevon, dia perlu sesuaikan dengan keadaan kesihatan isterinya itu.
“Selain Terbuka India, kita juga akan sertai Indonesia Masters, jadi, dua kejohanan penting ini memang jadi fokus kami,” katanya.
Berdepan jadual padat, Soon Huat-Shevon kini ‘mengejar’ masa untuk segera sembuh sebelum memulakan cabaran pusingan pertama di New Delhi berdepan beregu sama ditewaskan mereka pada Terbuka Malaysia, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin dari Taiwan.-UTUSAN










