KUALA LUMPUR: Juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan slot suku akhir menjadi milik mereka selepas mengetepikan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Beregu campuran No. 4 dunia itu mencatat kemenangan straight set ke atas Pang Ron-Su Yin yang menghuni ranking ke-21 dunia 21-13, 23-21 dalam masa 41 minit.
Kejayaan Tang Jie-Ee Wei itu sekali gus melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas Pang Ron-Su Yin menjadi 4-0.
Esok, Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan pasangan No. 8 dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong di suku akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan, beregu campuran No. 1. Malaysia itu mendahului Chung Man-Ying Suet menerusi rekod kemenangan 2-1.
Bagaimanapun, Chun Man-Ying Suet memiliki kelebihan psikologi kerana pada pertembungan terakhir gandingan Hong Kong itu menewaskan Tang Jie-Ee Wei 21-9, 21-18 pada Terbuka Perancis, tahun lalu.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terkandas selepas tewas di tangan pasangan Amerika Syarikat, Presley, Smith-Jennie Gai 9-21, 17-21 dalam masa 35 minit.
Soon Huat-Shevon yang kurang cergas ekoran masalah kesihatan telah menjadi penyumbang kekalahan mereka di pusingan kedua itu. – UTUSAN










