PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 9 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut mara ke final selepas menundukkan wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada separuh akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Pasangan profesional Malaysia itu beraksi cemerlang membenam beregu No. 28 dunia tersebut 9-21, 15-21 hanya dalam masa 28 minit.
Kejayaan ke atas Lundgaard-Vestergaard, telah meletakkan Sze Fei-Izzuddin mendahului rekod pertemuan kedua-dua beregu menjadi 3-2.
Esok, bekas beregu No. 1 dunia itu akan berdepan gandingan muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin pada perlawanan akhir.
Berdasarkan rekod pertemuan, Sze Fei-Izzuddin pernah tewas sekali di tangan beregu yang menghuni ranking ke-23 dunia itu pada separuh akhir Terbuka Australia 15-21, 15-21, tahun lalu.
Pertembungan, esok, memberi ruang kepada Sze Fei-Izzuddin untuk membalas dendam di atas kekalahan tersebut dan sekali gus, mengikat rekod pertemuan kepada kedudukan 1-1.
Raymond-Nikolaus merupakan beregu muda yang sedang meningkat naik dan mereka boleh dianggap sebagai ‘giant killer’ selepas pernah menumbangkan beberapa beregu handalan dunia.
Ini termasuk beregu No. 4 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang ditewaskan mereka, semalam, manakala, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlavi Isfahani yang menghuni ranking No. 7 dunia menjadi mangsa pasangan itu di separuh akhir, hari ini.
Justeru, Sze Fei-Izzuddin perlu lebih berhati-hati kerana mereka juga pernah tewas kepada Raymond-Nikolaus, apatah lagi beregu itu juga beraksi di laman sendiri dengan sorakan penyokong yang pasti menggegar Istora Senayan. – UTUSAN










