PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi dan kenyataan tidak bertanggungjawab berhubung pemergian pelakon dan ahlinya, Nadia Kesuma, yang meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi.
Setiausaha Agung Seniman, Haji Hafiz Nafiah berkata, sebarang kenyataan berunsur andaian, tuduhan atau komen berlebihan hanya akan mengguris perasaan keluarga Allahyarhamah yang sedang melalui saat sukar.
“Seniman memohon kerjasama semua pihak agar menghormati privasi keluarga arwah dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, Nadia dilaporkan rebah secara tiba-tiba akibat serangan jantung sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada 15 Januari lalu.
Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pihak berkuasa lapangan terbang mengesahkan kejadian tersebut sebelum Allahyarhamah dikejarkan ke hospital.
“Allahyarhamah disahkan meninggal dunia pada jam 8.07 pagi waktu tempatan dan jenazah kini ditempatkan di Hospital King Fahad, Jeddah,” katanya.
Tambah beliau, suami Allahyarhamah, Dr. Muhammad Kamarul Kabilan, akan berlepas ke Jeddah bagi menguruskan urusan jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada isterinya.
Seniman turut memaklumkan bahawa jenazah Allahyarhamah tidak akan dibawa pulang ke Malaysia sebaliknya akan dikebumikan di Jeddah.
Dalam pada itu, Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Pejabat Kedutaan Malaysia di Riyadh dan Konsulat Malaysia di Jeddah akan membantu keluarga Allahyarhamah bagi memudahkan segala urusan berkaitan.
Seniman turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan atas keprihatinan dan bantuan segera yang disalurkan melalui Wisma Putra.
Mengulas mengenai keperibadian Allahyarhamah, Hafiz berkata Nadia merupakan seorang ahli Seniman yang sangat aktif, berdedikasi serta mudah mesra dan disenangi rakan-rakan industri.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat warga Seniman dan industri seni tanah air,” katanya.
Seniman mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta berharap ahli keluarga diberikan ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian ini.
Sebarang kenyataan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak Wisma Putra, keluarga atau Seniman.
Kepimpinan tertinggi dan barisan Exco Seniman turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah. -UTUSAN










