Selangor ke suku akhir Piala Malaysia, Kim Pan Gon kekal 'kebal'

Selangor ke suku akhir Piala Malaysia, Kim Pan Gon kekal ‘kebal’

PENYERANG Selangor FC, Chrigor Moraes berjaya memperdaya penjaga gol Kelantan TRW, Damyanov sebelum menolak bola ke gawang pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.-UTUSAN IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) kekal dalam perebutan Piala Malaysia selepas mara ke suku akhir dengan menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) menerusi agregat 5-1.

Keputusan itu juga mengesahkan bahawa skuad Merah Kuning secara rasmi tidak akan mempertahankan Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL), selepas muncul juara musim lalu.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu menutup saingan pusingan 16 dengan kemenangan 3-0 pada aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi sekali gus melengkapkan kejayaan bergaya mara ke suku akhir selepas menang 2-1 di Kota Bharu pada perlawanan pertama, Isnin lalu.

Selangor bukan sahaja berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik, malah memanjangkan rekod tanpa kalah mereka kepada empat perlawanan sejak di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan itu.

Pada suku akhir nanti, Selangor bakal berdepan pemenang pertemuan antara Imigresen FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC), dengan misi memburu kejuaraan tertua negara kini semakin jelas di hadapan mata.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, tuan rumah bermula sedikit hambar apabila berdepan kesukaran menembusi benteng TRW namun usaha berterusan Selangor membuahkan hasil pada minit ke-18 menerusi sentuhan Chrigor Moraes yang menyudahkan hantaran kemas Ahmad Zikri Khalili untuk membuka tirai jaringan.

Selangor hampir menggandakan gol sebelum rehat, namun rembatan Aliff Haiqal Lau pada minit ke-42 berjaya ditepis penjaga gol pelawat, Damyan Valeriy Damyanov, sebelum percubaan Faisal Halim dua minit kemudian gagal menemui sasaran dalam situasi satu lawan satu.

Faisal bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menebus kekecewaan apabila mudah menolak masuk hantaran Moraes di penghujung separuh masa pertama, sekali gus meletakkan Selangor selesa mendahului 2-0.

FAISAL Halim (kanan) meraikan jaringan kedua Selangor bersama rakan sepasukannya.

Bersambung babak kedua, Damyanov terus diuji apabila dipaksa bekerja keras apabila menafikan percubaan Faisal pada minit ke-52.

Malang menimpa Selangor apabila Harith Haiqal Adam Afkar diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail susulan kekasaran ke atas Albert San Kang hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada minit ke-60.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Selangor tetap menunjukkan dominasi apabila Moraes melengkapkan malam cemerlangnya dengan gol ketiga pada minit ke-66 selepas memperdaya Damyanov sebelum mudah menolak bola ke dalam gawang terbuka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN