Rekod pertemuan 6-0 tidak jamin laluan mudah

Rekod pertemuan 6-0 tidak jamin laluan mudah

Pemain beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika sesi latihan rasmi sebelum beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rekod pertemuan 6-0 ke atas beregu No. 10 dunia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu tidak menjanjikan laluan mudah buat juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, hari ini.

Beregu Indonesia itu sering kali menghadirkan cabaran sengit buat Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking No. 4 dunia, walaupun sehingga kini mereka masih belum mampu mencari jalan untuk menumbangkan gandingan Malaysia tersebut.

Kali terakhir kedua-dua beregu bertemu adalah pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, Disember lalu dan Tang Jie- Ee Wei dipaksa bekerja keras sebelum menang 17-21, 21-14, 21-15.

Justeru, Tang Jie berkata, dia menjangkakan episod hampir serupa bakal mereka harungi pada pusingan pertama nanti dan penting untuk melakukan persediaan rapi setiap kali berdepan Jafar-Felisha.

“Setiap kali bertemu mereka selalu sukar, jadi yang peting persediaan dan apa yang kita boleh kawal, kita buat yang terbaik sahaja. Kita akan bagi segalanya dan cuba untuk menang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi ujian gelanggang di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, semalam.

Mengulas pula mengenai sasaran, Tang Jie yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-28, semalam, menjelaskan, dia seboleh mungkin enggan terlalu berharap tentang sasarannya pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu.

“Saya rasa lebih elok kita ambil langkah demi langkah, sebab kita pun tak nak selalu tengok jauh sangat nanti tak dapat. Jadi yang penting kita siapkan diri sendiri untuk lawan setiap perlawanan, itu yang paling penting,” katanya.

Ee Wei pula berkata, beraksi di laman sendiri memberi mereka kelebihan dari segi sokongan peminat dan kali pertama bermain di tanah air sejak bergelar juara dunia tidak memberi sebarang kelainan buatnya dan Tang Jie.

“Kita tak kisahlah lepas menang (juara dunia) ke sebelum menang, yang penting kita selalu berikan yang terbaik di dalam gelanggang.

“Jadi sudah tentu kita akan buat yang terbaik dan nikmati permainan. Jangan terlalu beri tekanan pada diri sendiri,” katanya.

Ketika ditanya pula tentang Malaysia yang kini memiliki lebih ramai beregu campuran, kata Ee Wei, perkembangan itu memberi petanda positif khususnya untuk persaingan yang lebih kompetitif di dalam negara.

“Dulu memang tak banyak orang kenal beregu campuran, jadi, saya rasa ini bagus untuk pemain-pemain remaja kita juga, saya harap boleh terus kekalkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN