Rakyat Kelantan boleh mendulang emas Rabu depan

Rakyat Kelantan boleh mendulang emas Rabu depan

MOHAMED FADZLI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan yang telah memohon lesen mendulang emas boleh menjalankan aktiviti berkenaan secara sah selepas kerajaan negeri mula mengeluarkan kebenaran itu bermula Rabu depan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia sekali gus membolehkan individu yang memiliki lesen itu menjalankan aktiviti berkenaan secara sah di sungai-sungai yang telah diwartakan.

Katanya, setakat ini kerajaan negeri sudah menerima 332 permohonan untuk fasa pertama.

“Daripada jumlah itu, 178 pemohon sudah membuat pembayaran dan baki selebihnya dalam proses penelitian.

“Alhamdulillah, sambutan terhadap aktiviti mendulang emas amat menggalakkan,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, semua pemegang lesen mendulang emas diingatkan supaya sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang dikepilkan bersama dokumen kelulusan lesen masing-masing.

“Tolong patuhi syarat-syarat berhubung lokasi dan aspek keselamatan kerana ia ditetapkan bagi menjamin keselamatan orang awam semasa mendulang emas. Pegawai penguat kuasa kerajaan negeri juga akan membuat pemantauan.

“Pendulang emas berlesen bebas untuk mendulang di mana-mana tempat dalam kawasan yang telah ditandakan, tetapi tidak boleh amal budaya ‘cop kawasan’. Kerana ia tanah kerajaan dan ini peluang diberikan kerajaan negeri kepada semua rakyat Kelantan,” ujarnya.

Mohamed Fadzli berkata, lima kawasan sungai diwartakan bagi fasa pertama adalah Sungai Tadoh (Jeli) sepanjang 4 Kilometer (KM) serta masing-masing sepanjang 2 KM bagi Sungai Gentiang (Kuala Krai), Sungai Galas (Gua Musang), Sungai Bertam (Tanah Merah) dan Sungai Pergau (Jeli).

Katanya, kesemua kawasan tersebut telah diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan untuk diwartakan sepanjang sungai tetapi dipersetujui untuk pewartaan sehingga 2 KM sahaja yang akan ditandakan bermula hari ini.

“Kerajaan Negeri Kelantan mungkin akan menjalankan kajian untuk memperluaskan lagi kawasan mendulang emas, sekiranya aktiviti itu mendapat sambutan serta berjalan lancar mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Kita lihat sama ada ia mendapat sambutan atau tidak, hasil kepada rakyat, hasil kepada kerajaan negeri dan semua pihak ikut peraturan atau tidak. Jika semua ikut undang-undang dan tiada pencerobohan, kita akan perluaskan (kawasan mendulang emas).

“Begitu juga jika ada sebarang masalah berbangkit, kita akan buat kajian untuk mengenal pasti serta menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN