Perayaan Ponggal lambang perpaduan masyarakat majmuk

Perayaan Ponggal lambang perpaduan masyarakat majmuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sambutan Perayaan Ponggal mencerminkan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan utama perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perayaan itu bukan sekadar tradisi masyarakat Tamil, sebaliknya membawa makna penghargaan terhadap nikmat rezeki serta hasil usaha yang dikecapi sepanjang tahun.

Katanya, Ponggal juga mempunyai nilai signifikan dalam kehidupan masyarakat Tamil kerana ia berkait rapat dengan sistem kalendar tradisional serta permulaan fasa baharu dalam kehidupan.

“Masyarakat Tamil akan menyambut Perayaan Ponggal yang melambangkan kesyukuran atas limpahan rezeki dari hasil tuaian.

“Sambutan ini juga menandakan bermulanya bulan Thai dalam kalendar Tamil, yang sering diraikan sebagai hari pertama Tahun Baharu Tamil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, perayaan tersebut wajar diraikan dalam suasana penuh kesyukuran dan keharmonian selaras dengan semangat perpaduan yang menjadi asas kestabilan negara.

Katanya, nilai saling menghormati dan memahami antara kaum yang terserlah melalui sambutan perayaan seperti Ponggal perlu terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Walaupun kita berbeza pandangan, latar belakang atau pendirian, sikap saling memahami dan menghormati kekal pengikat kepada keharmonian masyarakat majmuk serta kekuatan perpaduan negara.

“Semangat kebersamaan inilah yang mesti terus diperkasa dalam membina sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.

“Atas kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Tamil dan Selamat Menyambut Perayaan Ponggal kepada seluruh masyarakat India khususnya komuniti Tamil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN