PETALING JAYA: Pengasas Majlis Kanser Nasional (Makna), Datuk Mohd. Farid Ariffin meninggal dunia petang semalam pada usia 84 tahun.
Berita pemergian veteran politik itu disahkan oleh anak perempuannya, Farahida Mohd. Farid yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.38 petang semalam.
Difahamkan, ahli keluarganya sedang menguruskan pengebumian arwah yang dijadualkan berlangsung pagi ini.
Allahyarham akan dimandi dan disembahyangkan di Masjid Kariah Labu Hilir, Kampung Labu Hilir, Labu, Negeri Sembilan dan proses pengebumian dijangka disempurnakan pagi ini.
Mohd. Farid memulakan kerjaya sebagai peguam melalui firmanya sendiri iaitu Farid Ariffin & Associates.
Allahyarham juga bergiat aktif dalam politik dan pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Kesihatan dari 1987 hingga 1995.
Pada 1994, beliau mengasaskan Makna dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser dan menyediakan sokongan menyeluruh daripada aspek kewangan, emosi, fizikal, pendidikan kepada pesakit kanser, terutama golongan kurang berkemampuan.
Ia berdasarkan dari pengalamannya sendiri apabila anak lelakinya yang bertarung dengan leukemia, yang membuatnya menyedari bahawa pesakit tidak mempunyai peluang untuk meneruskan rawatan jika mereka tidak mampu melakukan rawatan. – UTUSAN









