KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum menerima sebarang aduan mengenai pencemaran udara yang berlaku sewaktu Terbuka India dan seandainya benar dakwaan tersebut, tindakan sewajarnya harus diambil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, kalau laporan itu betul, BWF perlu melakukan sesuatu memantau perkara tersebut supaya isu sama tidak dibangkitkan ketika Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di New Delhi, India pada Ogos depan.
“Setakat ini, tiada aduan rasmi daripada pemain BAM atau pemain Malaysia. Saya percaya BWF mungkin akan berjumpa dengan pihak penganjur untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi semasa kejohanan (Terbuka India) Super 750 ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai penganjuran Terbuka India yang menerima kritikan daripada para pemain utama dunia ekoran masalah pencemaran udara dan tahap kebersihan di venue kejohanan dekat New Delhi.
Berikutan masalah tersebut, beberapa pemain telah bertindak menarik diri antaranya dua bintang Denmark, Anders Antonsen dan Mia Blichfeldt serta beregu lelaki No. 1 dunia, Kim Son Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Ketika ditanya sama ada pihak penganjur perlu mempertimbangkan untuk memindahkan venue Kejohanan Dunia jika isu itu berterusan, Kenny berkata, agak sukar untuknya mengulas tentang perkata tersebut memandangkan Kejohanan Dunia hanya akan berlangsung pada Ogos.
“Bagi saya, agak pramatang untuk saya memberi ulasan mengenai perkara itu. Kita lihat dahulu apa yang akan dilakukan oleh negara tuan rumah dan BWF.
“Tetapi seperti yang saya katakan, jika ia benar, BWF perlu melihat perkara ini dengan serius dan tidak membiarkannya begitu sahaja,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, berhubung pelantikan jurulatih baharu, Kenny berkata, menerusi Mesyuarat Ahli Majlis, baru-baru ini, Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menegaskan bahawa penumpuan yang lebih komprehensif terhadap pembangunan perlu dilakukan.
Justeru, kata beliau, pihaknya perlu meletakkan lebih penekanan dengan mengambil lebih ramai pemain skuad remaja untuk diserapkan ke pasukan senior dan ia turut mendorong keperluan bagi menambah bilangan jurulatih.
“Bagaimanapun, kita masih belum membuat keputusan muktamad dan surat tawaran juga belum dikeluarkan, kita memerlukan sekurang-kurangnya seminggu atau dua minggu lagi, kita harap Februari dapat diselesaikan,” katanya.-UTUSAN










