KULAI: Seorang pemandu van pekerja berusia 64 tahun maut manakala lima penumpang iaitu wanita dewasa cedera ringan setelah kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Seelong, Senai, di sini pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Muhammad Nor Zaki Mohd. Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 6.32 pagi seterusnya sebuah jentera beserta lima anggota telah dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati pemandu warga emas itu telah maut dan berada dalam keadaan tersepit manakala lima penumpang wanita terperangkap dalam kenderaan yang sudah terbalik.
“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan ‘power unit’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit untuk melaksanakan kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN








