PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah gagal melepasi halangan separuh akhir selepas tewas kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India, hari ini.
Naib juara Kejohanan Dunia itu tunduk menerusi kekalahan straight set di tangan beregu No. 6 dunia 16-21, 13-21 dalam masa 46 minit.
Kegagalan itu menyaksikan Pearly-Thinaah mengulangi pencapaian edisi lalu apabila sekali lagi terkandas di separuh akhir.
Gandingan Jepun tersebut adalah beregu yang mengecewakan mereka pada peringkat kumpulan dan separuh akhir di Jelajah Dunia Akhir (WTF), Hangzhou, China, Disember lalu.
Dengan kekalahan di India, ini bermakna Pearly-Thinaah ditimpa tiga kekalahan berturut-turut kepada Fukushima-Matsumoto.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua beregu, Fukushima-Matsumoto kini semakin merapatkan jurang dengan Pearly-Thinaah yang masih mendahului dengan lima kemenangan berbalas empat kekalahan. – UTUSAN










