PETALING JAYA: Pearly Tan-M. Thinaah menepati sasaran selaku pilihan pertama apabila mudah melangkah ke separuh akhir selepas membenam beregu Korea Selatan, Kim Yu Jung-Lee Yu Lim pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Beregu wanita No. 2 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas Yu Jung-Yu Lim, pasangan yang baru digandingkan tahun ini 21-15, 21-9 dalam masa 29 minit.
Ini bermakna kejayaan yang diukir Pearly-Thinaah, hari ini, adalah kemenangan pertama mereka ke atas beregu tersebut yang melakukan penampilan sulung di Indonesia Masters.
Pada separuh akhir, esok, beregu No. 1 Malaysia itu bakal berdepan sama ada gandingan No. 16 dunia dari Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan atau wakil tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu.
Turut mara ke separuh akhir, beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menyingkirkan beregu dua negara, Singapura dan Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja 21-16, 21-19 dalam masa 37 minit.
Kedua-dua beregu belum pernah bertemu sebelum ini dan kemenangan Tang Jie-Ee Wei meletakkan juara dunia itu kini mendahului 1-0 ke atas gandingan yang baru beraksi bersama, musim ini.
Menanti Tang Jie-Ee Wei di separuh akhir adalah pasangan No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.
Rekod pertemuan kedua-dua pasangan berpihak kepada Zheng Bang-Ya Xin 5-2 dan kali terakhir Tang Jie-Ee Wei mengalahkan gandingan handalan China itu pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis, Ogos tahun lalu.
Sementara itu, dalam sektor beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menjadi wakil keempat Malaysia menempah slot ke separuh akhir.
Beregu No. 9 dunia itu menewaskan Cho Song Hyun-Lee Jongmin dari Korea Selatan 21-17, 21-13 dalam masa 34 minit.
Sze Fei-Izzuddin belum pernah bertemu Song Hyun-Jongmin yang juga beregu baharu dan kejayaan tersebut meletakkan gandingan No. 3 negara itu mendahului rekod pertemuan 1-0.
Esok di separuh akhir, Sze Fei-Izzuddin bakal berdepan lawan yang lebih mencabar apabila dijangka menentang sama ada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vatergaard atau beregu Korea Selatan/Malaysia, Choi Sul Gyu-Goh V Shem. – UTUSAN










