Pasukan Hakim Danish bukan 'cap ayam'

Pasukan Hakim Danish bukan ‘cap ayam’

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin (dua dari kanan) ketika bersama Hakim Danish (kanan) dan Qabil Irfan (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan ZK Racing dengan jenama pakaian dan aksesori motosikal, OneDry di Serdang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan MT Helmets MSI sebagai pasukan elit dalam saingan Moto3 selepas pelumba negara, Hakim Danish Ramli, disahkan menyertai pasukan itu secara sepenuh masa musim ini.

Menurut Zulfahmi, reputasi MT Helmets MSI tidak boleh dipertikaikan apabila berjaya melahirkan naib juara dunia musim lalu, Angel Piqueras, selain muncul juara keseluruhan kategori pasukan Moto3 sejak 2024.

Hakim Danish akan mengambil  tempat Piqueras, Angel Piqueras yang habis nombor dua tahun lepas.  Jadi pasukan Angel Piqueras tu akan bekerja dengan Hakim Danish tahun ni.

Dan itu bukan pasukan yang kita cakap cap ayam, bukanlah pasukan yang tak bagus kita masukkan pelumba kita. Ini adalah pasukan juara dunia 2024 dan naib juara 2025,” kata Zulfahmi selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan ZK Racing dengan jenama pakaian dan aksesori motosikal, OneDry di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulfahmi mengakui tekanan pasti wujud buat Hakim Danish sebagai pelumba rookie, namun situasi itu dilihat penting dalam membentuk kematangan dan konsistensi di pentas Kejuaraan Dunia.

Beliau menjangkakan persaingan sihat antara Hakim Danish dan rakan sepasukan, Ryusei Yamanaka mampu membantu melonjakkan prestasi keseluruhan pasukan ke tahap lebih kompetitif.

“Hakim Danish memang rapat dengan Yamanaka tetapi musim ini pasti ada tekanan kerana dia seorang rookie dan mempunyai rakan sepasukan yang lebih senior.

“Saingan sihat ini penting supaya semua pelumba boleh melonjakkan pasukan ke tahap tertinggi,” katanya.

Hakim Danish dijadualkan menjalani ujian pra-musim bersama MT Helmets MSI di Portimao, Portugal pada awal Februari sebelum membuka kempen Moto3 di Buriram, Thailand, pada 27 Februari ini.

Dalam perkembangan lain, Zulfahmi berkata penajaan setahun ZK Racing bersama OneDry diharap memberi kesan positif terhadap pembabitan pelumba negara, termasuk Qabil Irfan Azlan, di pentas antarabangsa.

“Inisiatif ini datang daripada OneDry sendiri untuk menyokong pasukan kami. Sebagai ketua pasukan, saya mengalu-alukan syarikat luar yang ingin menaja dan menggunakan platform pelumba kami untuk mempromosikan produk mereka,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN