Kod Tatalaku Laut China Selatan dijangka muktamad tahun ini

Kod Tatalaku Laut China Selatan dijangka muktamad tahun ini

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan yang dijangka dimuktamadkan tahun ini berfungsi sebagai kerangka bagi memastikan keselamatan dan kestabilan perairan tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, COC itu bukan instrumen untuk menyelesaikan isu pertindihan tuntutan kawasan dan kod tersebut perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala.

Katanya, kod itu berperanan menetapkan prinsip tatalaku bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan.

“Negara kita Malaysia merupakan negara penyelaras bersama China. Kita berusaha dan melaksanakan Rapid Discussion Group serta Jawatankuasa Joint Working Group on COC.

“Saya yakin banyak terma-terma dalam COC telah mendapat persetujuan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang mahu tahu perkembangan terkini proses rundingan COC Laut China Selatan serta peranan dimainkan Malaysia dalam usaha memuktamad usaha terbabit.

Mohamad berkata, Malaysia yakin COC Laut China Selatan selaku kerangka untuk memastikan perairan itu kekal sebagai laluan bebas, selamat dan boleh digunakan semua pihak dapat dimuktamadkan tahun ini.

“Ia mengambil kira status rundingan untuk COC yang kini sudah mencapai tahap 70 peratus. COC ni ada berpuluh-puluh perenggan, namun hampir 70 peratus sudah selesai, dalam perbincangan membabitkan negara antarabangsa ini, ia memerlukan perundingan yang halus.

“Insya-Allah perkara utama ia akan dapat selesai, cuma ada tak berapa banyak perenggan dah (masih berbaki), kita akan tamatkan dan muktamadkan COC supaya Laut China Selatan bebas menjadi laluan perdagangan yang selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN