MELBOURNE: Jannik Sinner membuka kempen mempertahankan gelaran Terbuka Australia dengan penuh bergaya apabila mara ke pusingan kedua tanpa banyak rintangan, namun tumpuan di Melbourne Park tetap dicuri Naomi Osaka dengan penampilan fesyen yang mencuri perhatian.
Pemain Itali selaku pilihan kedua itu menang mudah apabila lawannya dari Perancis, Hugo Gaston terpaksa menarik diri akibat kecederaan abdomen ketika ketinggalan 6-2, 6-1 di Arena Rod Laver.
“Saya tahu sejak awal saya perlu bermain pada tahap yang sangat tinggi dan cuba untuk seagresif mungkin, dan saya berjaya melakukannya.
“Ia bukan cara yang saya mahukan untuk menang, tetapi saya gembira dengan persembahan malam ini,” kata Sinner selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Gael Monfils mengucapkan selamat tinggal kepada Terbuka Australia selepas tewas epik hampir empat jam kepada pemain tuan rumah, Dane Sweeny dalam aksi pusingan pertama.
Monfils menerima penghormatan berdiri daripada penonton sebelum berkata kejohanan itu ibarat garisan penamat dalam karier panjangnya yang dijangka berakhir tahun ini.
Osaka pula mencuri tumpuan apabila turun beraksi dengan pakaian diinspirasikan obor-obor sebelum menewaskan Antonia Ruzic 6-3, 3-6, 6-4 dalam perlawanan malam.
Kejohanan itu turut menyaksikan sejarah tercipta apabila Janice Tjen muncul pemain Indonesia pertama memenangi perlawanan Terbuka Australia dalam tempoh 28 tahun selepas menyingkirkan Leylah Fernandez.










