Misi sukar Aaron-Wooi Yik akhiri kemarau gelaran

Misi sukar Aaron-Wooi Yik akhiri kemarau gelaran

Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Misi berat menanti beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mengakhiri kemarau gelaran beregu lelaki yang kali terakhir dimenangi Goh V Shem-Lim Khim Wah pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, lebih sedekad lalu.

Dalam separuh akhir, hari ini, pasangan No. 2 dunia itu mengambil masa selama 51 minit sebelum menewaskan gandingan No. 6 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia 23-21, 21-18 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kemaraan Aaron-Wooi Yik ke pentas akhir, juga berjaya memecah kebuntuan wakil Malaysia pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu, selepas legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berbuat demikian pada 2018.

Kejayaan itu turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas mereka membenam Fajar-Fikri pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, Disember lalu yang sekali gus mengikat rekod pertemuan kepada 2-2.

Esok, beregu bimbingan jurulatih, Herry Iman Pierngadi itu bakal menentang juara dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan yang juga merupakan juara bertahan Terbuka Malaysia, edisi lalu.

Rekod pertemuan Aaron Wooi Yik berdepan beregu No. 1 dunia itu ialah 1-1 dengan kelebihan psikologi berpihak kepada pasangan Malaysia tersebut yang menewaskan Won Ho-Seung Jae pada pertemuan terakhir di Terbuka Singapura, tahun lepas.

Aaron ketika ditemui pemberita melahirkan rasa gembira dengan pencapaian tersebut dan turut mengucapkan sekalung penghargaan kepada peminat yang menjalankan tugas mereka dengan baik sekali.

“Saya rasa peminat menjalankan tugas yang sangat hebat dalam menyokong seluruh pasukan Malaysia. Terima kasih kepada peminat yang datang hari ini dan teruskan menyokong kami esok untuk perlawanan terakhir, kami akan berikan yang terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai lawan yang bakal ditemui pada final, Aaron berkata, sudah agak lama mereka tidak berdepan Won Ho-Seung Jae.

“Sepanjang tahun lepas, tengok mereka sangat cemerlang, tetapi, tahun ini, kejohanan pertama, jadi, kita masih tak tahu lagi perlawanan esok, saya jangkakan 50-50, tetapi, kita ada kelebihan sikit sebab bermain di laman sendiri,” katanya.

Wooi Yik pula berkata, beraksi di tempat sendiri kadang-kadang mengundang tekanan yang lebih tinggi, tetapi, dia enggan terlalu banyak berfikir dan hanya mahu pamerkan persembahan terbaik pada final nanti.

“Saya dan Aaron cuma mahu buat yang terbaik, nikmati permainan. Kami sudah bermain lama, mungkin banyak jangkaan yang tak tercapai, tapi kami tetap nikmati setiap perlawanan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN