MFL benar Figueiredo, Irazabal, Hevel kembali beraksi di Liga M

MFL benar Figueiredo, Irazabal, Hevel kembali beraksi di Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sudah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menangguhkan penggantungan terhadap tujuh pemain warisan di peringkat domestik dan benua secara serta-merta.

Justeru, MFL dalam kenyataan hari ini, memaklumkan tiga daripada tujuh pemain terbabit iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dibenarkan kembali beraksi bersama pasukan mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Malaysia.

“Tiga pemain daripada JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel kembali dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution),” menurut kenyataan MFL.

Kelmarin, FAM memaklumkan bahawa CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan yang dikemukakan oleh tujuh pemain terbabit iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Figueiredo, Gabriel Palmero, Irazabal dan Hevel.

Keputusan CAS itu bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain itu sebelum ini ditangguhkan buat sementara waktu dan mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.

Terdahulu, FIFA pada September lalu menggantung tujuh pemain terbabit selama 12 bulan atas dakwaan isu pemalsuan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN