Man. United terlalu 'rapuh’- Fletcher

Man. United terlalu ‘rapuh’- Fletcher

PEMAIN Manchester United, Patrick Dorgu mengasak pemain Brighton, Jack Hinshelwood pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus sementara Manchester United, Darren Fletcher mengakui kekalahan 1-2 kepada Brighton & Hove Albion di pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford, semalam telah mendedahkan kerapuhan skuad The Red Devils.

Stadium hampir sunyi apabila wisel penamat dibunyikan, selepas perlawanan pusingan ketiga itu yang menamatkan harapan United untuk memenangi sebarang trofi musim ini, dengan beberapa penyokong turut melaungkan ejekan ketika pemain meninggalkan padang.

Bekas pemain tengah United, Fletcher, yang sebelum ini melatih skuad Bawah 18 tahun kelab, mengambil alih pasukan utama selepas pemecatan Ruben Amorim minggu lalu.

Namun, selepas seri 2-2 menentang Burnley dalam Liga Perdana Inggeris, harapannya untuk memberi impak positif di Old Trafford tidak kesampaian apabila bekas pemain United, Danny Welbeck, menjaringkan gol buat pelawat selepas Brajan Gruda membuka jaringan awal.

“Ia satu perasaan bercampur-baur sebenarnya, kami bermula dengan agak baik tetapi gol itu menjejaskan momentum kami.

“Pergerakan hantaran kami agak perlahan, jadi saya menegur mereka ketika rehat separuh masa. Ia sama seperti perlawanan sebelum ini, kami perlu menggerakkan bola dengan tempo lebih pantas.

“Apabila kami kembali merapatkan kedudukan kepada 1-2, saya fikir ‘inilah masanya’, penyokong bangkit, tenaga meningkat, tetapi akhirnya kami gagal menyamakan kedudukan.

“Jelas kelihatan pemain-pemain ini rapuh dan perlu membina semula keyakinan diri. Terpulang kepada mereka untuk bangkit,” kata Fletcher.

United dijangka mengumumkan pengurus sementara sehingga akhir musim minggu depan, namun Fletcher menegaskan siapa pun yang mengambil alih, pemainlah yang perlu berjuang lebih keras.

“Keyakinan perkara paling kuat dalam bola sepak, tetapi apabila ia tiada, anda perlu bekerja keras untuk menang. Dari situlah keyakinan akan kembali,” jelasnya.

United gagal melepasi sebarang pusingan dalam kedua-dua kejohanan piala domestik buat kali pertama sejak musim 1981-82 dan tanpa aksi Eropah, musim ini berisiko berakhir hambar.

Namun begitu, mereka kini berada di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris, hanya satu mata di belakang tempat kelima yang berpotensi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN