Mahasiswa UMT wakili negara ke Global Student Leadership Summit

Mahasiswa UMT wakili negara ke Global Student Leadership Summit 2026 di Jepun

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain (tiga kiri) memberi sokongan moral kepada kumpulan pelajar UMT sebelum berlepas ke Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengorak langkah memperkukuh keterlibatan global apabila empat orang mahasiswanya terpilih menyertai Global Student Leadership Summit (GSLS) 2026 yang akan berlangsung di Universiti Tsukuba, Ibaraki, Jepun selama enam hari bermula 8 Januari 2026.

Penyertaan pelajar UMT dalam persidangan antarabangsa berprestij itu mencerminkan kesungguhan universiti melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global, khususnya dalam membentangkan idea, berkongsi perspektif dan membina jaringan kepimpinan rentas budaya bersama peserta dari pelbagai negara. 

Salah seorang peserta, Qistina Wafiyyah Shahrul Nizam dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik UMT berkata, peluang menyertai GSLS 2026 merupakan pengalaman bermakna yang membuka ruang pembelajaran di luar bilik kuliah.

“Penyertaan ini memberi peluang kepada saya untuk membentangkan idea dan pandangan berkaitan Modelling Campus-Wide Cashless Saturation to Foster Student Autonomy and Digital Financial Literacy dalam konteks global, di samping memahami cabaran kepimpinan masa depan daripada perspektif antarabangsa. Ia juga menguji keyakinan diri serta keupayaan bekerja dalam pasukan pelbagai latar belakang,” katanya.

Penyertaan pelajar UMT dalam GSLS 2026 selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berkeupayaan menyumbang idea bernilai dalam menangani isu global dan pembangunan mampan. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, penyertaan pelajar UMT dalam program bertaraf antarabangsa merupakan suatu keperluan dalam membina jaringan global serta membuka peluang kepada kerjasama akademik, pertukaran pelajar dan pelaksanaan projek bersama pada masa hadapan.

“UMT sentiasa menyokong penglibatan pelajar dalam program antarabangsa kerana pengalaman di luar bilik kuliah ini mampu membentuk jati diri pelajar yang lebih yakin, berdikari dan berfikiran global. Mahasiswa juga berperanan sebagai duta kecil negara yang membawa imej positif universiti di mata dunia” katanya.

Dengan tema “Nurturing Future Global Leader”, penganjuran GSLS 2026 merangkumi enam teras utama iaitu Tindakan Iklim dan Kemampanan, Pemerkasaan Belia dan Penglibatan Sivik, Kesihatan dan Kesejahteraan Global, Kecerdasan Buatan dan Teknologi Baharu untuk Impak Sosial, Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Kemahiran Masa Depan serta Ekonomi Digital dan Keusahawanan Belia.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN