PETALING JAYA: Perseorangan wanita negara, K. Letshanaa melakar kejutan ke atas pemain No. 12 dunia, Michelle Li untuk mara ke suku akhir buat kali pertama pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Pemain yang menghuni ranking ke-42 dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-14 dalam masa 36 minit ke atas wakil Kanada tersebut pada pusingan kedua.
Letshanaa juga belum pernah menjejakkan kaki pada kejohanan bertaraf Super 500 dan kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbaiknya sejak mendapat bimbingan jurulatih, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.
Pada suku akhir, esok, perseorangan wanita No. 1 Malaysia itu akan bertemu pemain ke-37 dunia, Huang Yu Hsuan dari Taiwan.
Seperti mana Letshanaa, Yu Hsuan turut mencipta kejutan ke atas bintang tuan rumah yang menghuni ranking No. 7 dunia, Putri Kusuma Wardani 21-17, 19-21, 21-17 dalam masa 1 jam 2 minit.
Turut mara ke suku akhir, beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang mudah menewaskan pasangan ke-32 dunia, Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao dari Taiwan 21-13, 21-12 dalam masa 27 minit.
Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama akan berdepan Kim Yu Jung-Lee Yu Lim dari Korea Selatan pada pusingan seterusnya.
Bagaimanapun, dalam saingan beregu campuran, pasangan ke-20 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin gagal menyaingi kehebatan gandingan No. 6 dunia, Guo Xin Wa-Cheng Fang Hui dari China 13-21, 19-21 dalam masa 37 minit. – UTUSAN










