PETALING JAYA: Nasib kurang menyebelahi Man Wei Chong-Tee Kai Wun, apabila beregu lelaki No. 2 negara itu tersingkir pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India, hari ini.
Gandingan No. 6 dunia itu terpaksa akur kepada beregu China, Wei Keng-Wang Chang yang menghuni ranking No. 5 dunia 15-21, 21-15, 19-21 dalam masa 50 minit.
Kekalahan di tangan beregu lelaki No. 1 China tersebut menyaksikan Wei Chong-Kai Wun tewas buat kali keenam dan masih gagal meraih sebarang kemenangan ke atas pencabar mereka itu.
Walaupun gagal menjejakkan kaki ke separuh akhir, kejayaan Wei Chong-Kai Wun melangkah sejauh suku akhir merupakan pencapaian terbaik mereka pada kejohanan berstatus Super 750 itu.
Dalam tiga penyertaan lalu, langkah Wei Chong-Kai Wun sering disekat seawal peringkat 32 terbaik apabila bertembung dengan beregu-beregu handalan dunia seperti Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Kegagalan itu juga menyaksikan, Wei Chong-Kai Wun sekali lagi terkandas di suku akhir selepas mereka turut kecundang di peringkat sama pada Terbuka Malaysia, minggu lalu.
Beregu lelaki No. 1 Malaysia, Aaron-Wooi Yik telahpun mengesahkan tempat ke separuh akhir mengiringi gandingan wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah. – UTUSAN










