PETALING JAYA: Keputusan sama ada untuk memohon lanjutan reman bekas Panglima Tentera Darat (PTD) bersama dua isterinya yang ditahan berhubung kes tender perolehan bergantung kepada keperluan siasatan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih mempunyai tempoh satu hari lagi sebelum reman terhadap bekas Panglima Tentera Darat itu tamat.
“Saya tidak boleh mengesahkan perkara itu buat masa ini kerana masih berbaki satu hari. Saya perlu menyemak dengan pegawai penyiasat.
“Sebenarnya kita mempunyai tempoh maksimum 14 hari reman. Jika esok genap tujuh hari dan siasatan memerlukan masa tambahan, kita akan memohon lanjutan reman di mahkamah,” katanya selepas ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 di sini, hari ini.
Azam turut memaklumkan beliau akan memberikan perkembangan lanjut mengenai siasatan tersebut pada 15 Januari ini dalam satu sidang akhbar.
Pada 8 Januari lalu, bekas PTD bersama dua isterinya yang ditahan berhubung kes tender perolehan.
Susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur dipercayai milik isteri kedua telah membawa penyitaan pelbagai aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta.
Penggeledahan yang dibuat SPRM telah menemukan dua buah bagasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan tersebut.
Hasil pemeriksaan menemukan 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta.
SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000.-UTUSAN










