KOTA BHARU: Kelantan The Real Warrior (Kelantan TRW) mesti memberi perhatian dan berusaha merantai pergerakan tiga pemain utama jika berhasrat mahu menjinakkan Sang Gergasi Merah pada perlawanan pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok.
Penolong Ketua Jurulatihnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, Quentin Cheng, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Faisal Halim adalah tiga watak penting yang mampu mengucar-ngacirkan mana-mana pasukan lawan.
“Selangor kini memiliki semangat baharu apabila menang dua perlawanan sejak bersama ketua jurulatih baharu mereka, Kim Pan-gon. Selain itu kami perlu memberi lebih perhatian kepada barisan pemain sayap mereka.
“Quentin, Mukhairi Ajmal dan Faisal adalah tiga pemain sayap yang perlu diberikan perhatian khusus kerana banyak serangan Selangor dijana melalui mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, ketiga-tiga pemain berkenaan mampu melakukan larian mengelirukan dan membuat hantaran lintang berbahaya yang mampu mengancam pintu gol pasukan kendaliannya.
“Kami juga perlu sentiasa mengawasi pergerakan Chigor Moraes dalam kawasan penalti kerana sekarang ini dia pasti berada dalam prestasi terbaik selaku pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super,” katanya.
Akmal memberitahu, Kelantan TRW pasti akan mempersembahkan corak permainan berbeza berbanding sebelum ini untuk berdepan pasukan sekuat Selangor yang dibarisi pemain tempatan serta import berkualiti.
Katanya, pasukan kendaliannya itu kini berada dalam situasi terbaik dan bersedia menghadapi Sang Gergasi Merah dengan beberapa pemain tonggak pulih sepenuhnya dari kecederaan dan kembali bersama pasukan.
“Dalam perlawanan bercorak timbal balas ini kita perlu guna kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk memberi tekanan serta mendapatkan keputusan positif dan saya bersyukur apabila beberapa pemain tonggak kita kini pulih sepenuhnya dari kecederaan.
“Habib Haroon juga sudah bebas daripada penggantungan perlawanan dan saya kini memiliki barisan skuad yang bersedia untuk menghadapi Selangor dalam kempen Piala Malaysia kali ini,” ujarnya.-UTUSAN










