Kecederaan Shah Firdaus, amaran buat negara

Kecederaan Shah Firdaus, amaran buat negara

Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kecederaan yang menimpa pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi petanda jelas bahawa Malaysia memerlukan lebih ramai bakat baharu bagi memastikan kesinambungan prestasi sukan berbasikal di peringkat antarabangsa.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Malaysia seharusnya sudah memiliki tiga atau empat pelumba trek yang boleh diketengahkan pada ketika keringat Datuk Azizulhasni Awang sudah sampai ke penghujungnya.

“Datuk Azizulhasni mula sertai Sukan Olimpik pada 2008 dan kali terakhir pada 2024. Sudah berapa kali kitaran Sukan Olimpik berlaku di situ dan sepatutnya pada waktu itu harapan sudah boleh diletakkan kepada Shah Firdaus.

“Apabila dua pelumba ini meningkat usia kerana saya fikir usia Shah Firdaus pun bukannya muda lagi. Kita patut ada pelumba yang setanding dengan mereka ini di pentas antarabangsa.

“Ini satu amaran kepada semua pihak bukan sahaja untuk sukan basikal tetapi sukan-sukan lain pun sama,” katanya. 

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Shah Firdaus tidak akan beraksi dalam mana-mana kejohanan dalam masa terdekat kerana perlu menjalani tempoh pemulihan yang panjang.

Ini berikutan pembedahan lutut kanan pelumba itu pada Oktober lalu meninggalkan kesan besar, termasuk kehilangan otot ketara sehingga menjejaskan keseluruhan struktur sokongan lututnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN