Jin Wei buru gelaran sulung di Thailand Masters

Jin Wei buru gelaran sulung di Thailand Masters

BEKAS juara remaja dunia sebanyak dua kali itu bakal berdepan sama ada pemain yang berada di tangga ke-63 dunia, Devika Sihag dari India atau wakil Taiwan, Huang Yu-Hsun yang menghuni ranking No. 35 dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei membuktikan dirinya masih yang terbaik di Malaysia selepas mengetepikan rakan senegara, Wong Ling Ching pada separuh akhir Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, hari ini.

Jin Wei yang pernah menggalas peranan sebagai perseorangan No. 1 Malaysia mengambil masa selama 57 minit untuk menewaskan Ling Ching yang menghuni ranking ke-43 dunia 17-21, 21-17, 21-16.

Anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu kini mendahului rekod pertemuan ke atas Ling Ching 1-0 selepas melakar kemenangan tersebut.

Pemain ke-68 dunia itu belum pernah merangkul sebarang gelaran dalam Jelajah Dunia dan kemaraannya ke pentas akhir, esok, membuka laluan kepada Jin Wei untuk berbuat demikian.

Bekas juara remaja dunia sebanyak dua kali itu bakal berdepan sama ada pemain yang berada di tangga ke-63 dunia, Devika Sihag dari India atau wakil Taiwan, Huang Yu-Hsun yang menghuni ranking No. 35 dunia.

Sama ada Sihag mahupun Yu-Hsun, Jin Wei belum pernah bertemu kedua-dua pemain berkenaan dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.

Jin Wei yang bergelut dengan prestasi sejak dua tahun lalu, berpeluang untuk menebus kehampaan tersebut dengan gelaran pertamanya sejak bergelar pemain profesional dan sekali gus keluar daripada kemerosotan.

Pengalaman mungkin boleh dimanfaatkan pemain berusia 26 tahun itu dalam usaha memburu kemenangan pada final, seperti yang dibuktikan ketika menewaskan dua juniornya, K. Letshanaa, semalam, dan juga Ling Ching, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN