Isu pengadil JDT-N.9 : FAM dapati Logeswaran, Usaid 'bersalah'

Isu pengadil JDT-N.9 : FAM dapati Logeswaran, Usaid ‘bersalah’

S. Logeswaran pernah mencetus kontroversi pada final Piala Malaysia 2023 melibatkan perlawanan Terengganu berdepan JDT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius isu prestasi pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung pada 9 Januari lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah meneliti Laporan Penilai Pengadil sebelum membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi pegawai perlawanan iaitu S. Logeswaran dan pengadil Bantuan Video (VAR), Muhd. Usaid Jamal, termasuk menganalisis beberapa insiden utama yang berlaku sepanjang perlawanan berkenaan.

“Hasil penelitian mendapati terdapat beberapa keputusan yang kurang tepat dilakukan oleh pengadil perlawanan, S. Logeswaran serta pengadil Bantuan Video (VAR), Muhd. Usaid Jamal, khususnya membabitkan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 berkaitan kesalahan dan kelakuan tidak bersopan.

“FAM memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil terbabit ke fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu sebagai langkah memperbaiki tahap prestasi serta kefahaman mereka terhadap pengendalian perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Unit Pengadil FAM bersama Jawatankuasa Penilaian Prestasi turut menghantar surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan termasuk Penilai Pengadil yang terlibat bagi menghadiri sesi ‘Postmatch Debriefing’ di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis ini.

Sesi tersebut bertujuan menilai secara terperinci setiap keputusan yang dibuat selain memberi bimbingan agar pegawai perlawanan dapat memperbaiki kelemahan serta meningkatkan kualiti pengadilan pada masa akan datang.

“Badan induk itu tidak pernah berkompromi dalam isu kualiti pengadilan dan akan terus memanggil mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi lemah untuk menjalani proses bimbingan serta pemulihan prestasi,” tegas Noor Azman.

Terdahulu, tindakan Logeswaran yang melanjutkan masa perlawanan meskipun tujuh minit diberikan dalam masa kecederaan dalam aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Malah, insiden sikuan pertahanan JDT, Eddy Israfilov ke atas penyerang import NSFC, Joseph Esso di babak pertama juga tidak diambil sebarang tindakan oleh Logeswaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN