PETALING JAYA: Impian skuad futsal negara untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Asia Futsal lebur apabila dibelasah Afghanistan 7-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D, sebentar tadi.
Kekalahan kedua berturut-turut itu sekali gus memadamkan harapan anak buah Addie Azwan Zainal untuk terus bersaing, selepas sebelum ini tewas kepada gergasi Asia, Iran, dalam aksi pembukaan.
Berbekalkan keperluan menang untuk kekal bernyawa, Malaysia tampil agresif sebaik sepak mula dengan beberapa siri tekanan ke arah gawang Afghanistan yang dikawal Mohammad Javad Safari namun, keghairahan itu akhirnya memakan diri.
Afghanistan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi Seyed Hossein Mousavi sebelum terus menghukum kelekaan pertahanan negara dengan dua gol pantas oleh Farzad Mahmoodi dan Seyed Mojtaba Husseini pada minit ke-12 dan ke-13.
Gol keempat hasil sentuhan Mohammad Moradi pada minit ke-15 memastikan Afghanistan selesa mendahului 4-0 ketika rehat, sekali gus memberi tamparan hebat kepada moral skuad negara.
Bersambung babak kedua, Malaysia cuba bangkit dengan intensiti lebih tinggi namun ketumpulan jentera serangan terus menghantui apabila Afghanistan pula tidak mensia-siakan peluang apabila Reza Hossein Poor menambah derita pada minit ke-27.
Usaha Addie Azwan menggunakan taktik power play bagi mencari gol saguhati gagal membuahkan hasil, sebaliknya membuka ruang kepada Afghanistan menambah jaringan.
Javad mencetak gol jarak jauh dari kawasan sendiri sebelum Omid Qanbari melengkapkan kemenangan bergaya 7-0 pada minit ke-39.
Keputusan tersebut mengesahkan penyingkiran awal Malaysia daripada kejohanan, manakala Afghanistan semakin hampir untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.
Malaysia dijadual menutup kempen kumpulan menentang Arab Saudi pada 1 Februari, yang kini menjadi peluang terakhir skuad negara untuk menamatkan saingan dengan maruah di pentas Asia.










