JAKARTA: Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) hari ini mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Kanada, John Herdman sebagai ketua jurulatih baharu skuad Garuda bagi menghidupkan semula harapan bola sepak negara itu di pentas antarabangsa.
Herdman menggantikan Patrick Kluivert yang berpisah secara persetujuan bersama selepas kegagalan Indonesia menyerlah dalam kempen kelayakan Piala Dunia zon Asia, sekali gus mencetuskan rombakan besar di bangku teknikal.
Jurulatih berusia 50 tahun itu bukan asing dengan kejayaan apabila pernah mengemudi pasukan wanita Kanada meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 dan 2016, selain mencipta reputasi sebagai arkitek pembangunan jangka panjang.
Sentuhan Herdman turut terbukti apabila beliau membawa pasukan lelaki Kanada layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar, penampilan sulung selepas 36 tahun, sebelum meneruskan kerjaya bersama kelab Major League Soccer, Toronto FC.
Ujian pertama Herdman bersama Indonesia dijadualkan pada Mac ini menerusi Siri FIFA di Jakarta, yang bakal menjadi pentas awal menilai arah baharu skuad Garuda di bawah kendaliannya. – AGENSI










