MELAKA: Sebuah helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang malam tadi.
TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam kejadian pukul 10.50 malam itu helikopter berkenaan sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM) di Padang Encore di sini.
“Seramai empat orang kru udara berada dalam pesawat ketika kejadian berlaku dan kesemua mereka telah berjaya diselamatkan serta dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, kesemua kru berada dalam keadaan sedar dan stabil serta sedang dipantau oleh pasukan perubatan.
Jelasnya, TLDM telah mengambil tindakan serta-merta dengan mengatur gerakan operasi salvaj pesawat tersebut.
“Sebuah lembaga siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, TLDM memohon orang ramai agar tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti dan kelancaran proses penyiasatan. – UTUSAN










