FIFA maklum semua ahli, tangguh hukuman gantung tujuh pemain

FIFA maklum semua ahli, tangguh hukuman gantung tujuh pemain

FIFA telah maklumkan kepada semua ahli bersekutu dan konfederasi berkaitan menangguh sementara hukuman penggantungan tujuh pemain warisan Malaysia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan telah memaklumkan semua persatuan ahli dan konfederasi mengenai keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tujuh pemain negara.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menjelaskan bahawa makluman rasmi tersebut turut melibatkan arahan supaya penguatkuasaan hukuman berkenaan digantung di peringkat domestik dan benua selagi proses rayuan masih berjalan.

Menurut FAM, tindakan FIFA memaklumkan semua pihak berkaitan itu penting bagi memastikan tiada kekeliruan atau percanggahan dalam penguatkuasaan keputusan CAS sepanjang tempoh rayuan.

“Dalam maklum balas FIFA terhadap keputusan CAS, badan induk dunia itu telah memaklumkan semua persatuan ahli dan konfederasi berkaitan untuk menggantung penguatkuasaan hukuman tersebut sementara menunggu keputusan muktamad,” menurut kenyataan media FAM.

Tujuh pemain yang terbabit dalam kes berkenaan ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Makluman itu susulan kenyataan terdahulu FAM yang mengesahkan CAS telah membenarkan permohonan pemain berkenaan bagi menangguhkan pelaksanaan penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

Di bawah keputusan penangguhan itu, penguatkuasaan hukuman tidak dilaksanakan buat sementara waktu sehingga CAS membuat keputusan akhir terhadap merit penuh rayuan yang difailkan.

Untuk rekod, penggantungan berkenaan dikenakan pada September lalu, bersama denda CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas FAM serta denda individu CHF2,000(RM10,000) terhadap setiap pemain terbabit.

Setakat ini, CAS masih belum mengumumkan keputusan muktamad yang akan menentukan sama ada hukuman penggantungan itu dikekalkan, dipinda atau dibatalkan sepenuhnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN