FAM perlu fokus pemimpin baharu, bukan kitar semula muka lama

FAM perlu fokus pemimpin baharu, bukan kitar semula muka lama

Pekan Ramli (kanan) berpandangan zaman Hamidin di FAM telah berlalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran memberi tumpuan kepada kepimpinan baharu yang mampu menjamin kesinambungan pentadbiran, bukannya mengulangi kitaran lama dengan mengembalikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin ke tampuk kuasa kerusi No.1 badan induk bola sepak negara itu.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli berpendapat, pemilihan semula pemimpin lama bukan sahaja berisiko membantutkan perkembangan bola sepak negara, malah boleh mencetuskan persepsi bahawa ahli gabungan masih terperangkap dengan pemikiran tertutup dan enggan berubah.

Menurutnya, proses pemilihan kepimpinan seharusnya berpaksikan integriti, karisma dan kemampuan sebenar untuk memacu kemajuan bola sepak negara, bukan didorong kepentingan peribadi atau rasa selesa dengan wajah lama.

“Ahli gabungan FAM perlu memilih pemimpin yang benar-benar berintegriti dan berkarisma, bukan atas dasar kepentingan peribadi atau rasa selesa.

“Pemimpin yang dipilih harus memberikan manfaat kepada bola sepak Malaysia, pemegang taruh, penaja dan peminat, bukan hanya untuk sekelompok atau kepentingan individu sahaja,” kata Pekan kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemilihan berdasarkan keselesaan peribadi hanya akan menjejaskan kemajuan sukan dan memberi kesan negatif terhadap usaha transformasi badan induk itu.

Tegas Pekan, pendekatan tersebut sebagai tidak progresif, lebih-lebih lagi ketika FAM kini berada dalam tempoh transisi sehingga 2027 di bawah pemantauan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Perlu ada keberanian untuk bergerak ke hadapan dan memberi peluang kepada pemimpin baharu bagi memastikan kesinambungan dan pembangunan bola sepak negara,” ujarnya.

FAM kini berdepan situasi tidak menentu apabila kerusi presiden masing kosong Ogos lalu, selain difahamkan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) badan induk itu bakal melepaskan jawatan bagi mengelak penggantungan oleh FIFA.

Hamidin pernah memegang jawatan Presiden FAM dari 2018 hingga 2025, selain pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti lain termasuk Ahli Jawatankuasa (1995–2010), Naib Presiden (2010–2013) dan Setiausaha Agung (2013–2018).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN