KUALA LUMPUR: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal mengulangi pencapaian edisi lalu mara sehingga ke separuh akhir, selepas beregu campuran No. 4 dunia itu terkandas di peringkat lapan terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Juara dunia itu tunduk menerusi kekalahan rubber set 17-21, 21-17, 10-21 dalam masa 1 jam 7 minit di tangan beregu No. 8 dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.
Kekalahan Tang Jie-Ee Wei itu menyaksikan kedua-dua beregu kini terikat dengan rekod pertemuan 2-2.
Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut Tang Jie-Ee Wei kepada lawan sama, selepas mereka juga tumpas di tangan Chun Man-Ying Suet pada Terbuka Perancis, tahun lalu.
Tang Jie berkata, pada awal permainan, mereka bermula dengan baik, tetapi, momentum mula menurun selepas perlawanan bermula.
“Saya gagal mengekalkan permainan menyerang kerana pertahanan mereka sangat kuat. Kesilapan berlaku pada set pertama, jadi, selepas mata ke-11, saya perlu tingkatkan prestasi dan perlu belajar beraksi lebih konsisten,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena dekat sini, hari ini.
Katanya lagi, beregu Hong Kong merupakan lawan yang sangat berpengalaman dan kesilapan dia serta Ee Wei adalah lambat menukar strategi sehingga lawan mampu bangkit menjelmakan tentangan sengit pada set kedua.
Malah, sebaliknya, Tang Jie menjelaskan, kegagalan mengekalkan momentum telah menjerumuskan mereka kepada kekalahan.
Ee Wei pula berkata, mereka perlu mengkaji semula kekalahan tersebut dan dia berasa bersalah terhadap peminat yang hadir ke Axiata Arena bagi memberikan sokongan.
“Saya mahu beri pujian kepada peminat. Sejak hari pertama, stadium sentiasa penuh. Saya cuma mahu katakan maaf kepada mereka yang datang menyokong, tetapi, kami tidak dapat memenangi perlawanan,” katanya.
Mengulas pula mengenai kejohanan berikut pula, kata Ee Wei, selepas ini mereka akan menyertai Terbuka India yang bermula Selasa ini dan perlu bangkit bagi memberikan prestasi yang lebih baik.
Berhubung pengurusan jadual Jelajah Dunia yang padat, anak jati Melaka itu lebih selesa menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada jurulatih mengenai keperluan penyertaan mereka dalam sesebuah kejohanan. – UTUSAN










