PETALING JAYA: Skuad tenis kerusi roda Malaysia berada di landasan terbaik untuk menghadiahkan dua pingat emas apabila menguasai sepenuhnya acara perseorangan dan beregu lelaki pada Temasya ASEAN Para Games di Korat, Thailand.
Dalam aksi perseorangan, Abu Samah Borhan mempamerkan permainan agresif dan taktikal berkesan hasil perancangan jurulatih, Talha Mohamad Rahizam, apabila membenam cabaran Kevin Sanjaya dengan kemenangan bergaya 6-0, 6-1 dalam tempoh hanya 40 minit.
Abu Samah menegaskan komitmennya untuk terus memberikan persembahan terbaik sehingga ke perlawanan akhir, bukan sahaja dalam acara perseorangan, malah beregu lelaki.
Sementara itu, pilihan utama temasya, Mohd Yusshazwan Yusuf, turut mengesahkan statusnya apabila menewaskan lawan dengan keputusan 6-3, 6-4.
Walaupun berdepan perubahan strategi permainan, ia langsung tidak menjejaskan prestasi atlet negara itu.
Presiden Wheelchair Tennis Malaysia, Muhd Iqbal Sulaiman memberi bayangan kemungkinan berlakunya All-Malaysia Final dalam acara perseorangan, selain final beregu yang menyaksikan Malaysia mempertahankan pingat emas.
“Semua pemain kini berada dalam keadaan stabil dan mantap. Persiapan pasukan sangat baik hasil sokongan padu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
“Kami tidak mahu mengulangi kesilapan di Solo 2022. Kali ini, sasaran kami adalah clean sweep,” katanya.
Dalam acara beregu, gandingan negara menampilkan dominasi mutlak apabila menundukkan pasukan Laos 6-0, 6-0 dalam masa 30 minit, sekali gus mengukuhkan status Malaysia sebagai kuasa utama wheelchair tenis di rantau ASEAN.
Muhd Iqbal turut menegaskan kejayaan ini membuktikan keberkesanan Program Pasukan Elit Malaysia yang dibangunkan oleh Wheelchair Tennis Malaysia bersama MSN.
“Rekod pencapaian termasuk emas di ASEAN Para Games Kuala Lumpur, perak dan emas di Solo, perak di Asia Para Games Hangzhou serta kelayakan merit ke Paralimpik Tokyo dan Paris membuktikan kredibiliti program ini,” katanya.-UTUSAN










