MELBOURNE: Novak Djokovic mengakui dirinya “amat bertuah” selepas terselamat daripada penyingkiran apabila Lorenzo Musetti terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika mendahului dua set pada aksi suku akhir Terbuka Australia, hari ini.
Bintang Serbia itu hampir mengucapkan selamat tinggal lebih awal selepas ketinggalan 4-6, 3-6 dan 1-3 sebelum Musetti tidak mampu meneruskan perlawanan kerana masalah pada paha kanan yang menjejaskan pergerakannya.
Keputusan mengejutkan itu menghadiahkan Djokovic tiket ke separuh akhir, sekali gus mengekalkan peluangnya memburu gelaran Grand Slam ke-25 yang merupakan rekod baharu dalam sejarah tenis lelaki.
Pemain Itali pilihan kelima itu jelas menguasai perlawanan dan mempamerkan permainan kemas, manakala Djokovic yang merupakan juara 10 kali di Melbourne Park kelihatan bergelut dengan rentetan kesilapan sendiri.
“Ia sangat malang untuknya. Dia pemain yang jauh lebih baik hari ini dan sejujurnya, saya sudah dalam perjalanan pulang.Dia mengawal perlawanan sepenuhnya.
“Tidak banyak yang boleh saya katakan selain saya amat bertuah untuk mara,” kata Djokovic yang kelihatan simpati dengan nasib lawannya.
Kemenangan ‘hadiah’ itu menyaksikan Djokovic mencipta satu lagi rekod apabila mencatat kemenangan ke-103 di Melbourne Park, mengatasi Roger Federer, selain mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali ke-54 juga rekod peribadi baharu.
Namun, sebelum Musetti cedera, segalanya seolah-olah menuju ke arah penyingkiran buat pemain berusia 38 tahun itu.
Djokovic dibelenggu kadar kesilapan tidak paksa yang tinggi, melakukan 18 kesilapan pada set pertama sahaja dan keseluruhan 32 kesilapan sebelum perlawanan dihentikan.
Musetti memanfaatkan kelemahan tersebut dengan liputan gelanggang yang cemerlang serta pukulan konsisten dari kedua-dua belah sayap, termasuk satu forehand sensasi menyusur garisan untuk mengesahkan penguasaan dua set.
Malangnya, kecederaan paha yang dialami pada set ketiga memaksa Musetti mendapatkan rawatan dan akhirnya mengangkat bendera putih, sekali gus menamatkan perlawanan lebih awal.
Djokovic dijadualkan bertemu sama ada juara bertahan, Jannik Sinner, atau pilihan kelapan dari Amerika Syarikat, Ben Shelton, dalam perebutan tiket ke final.
Usaha Djokovic untuk melepasi rekod legenda Australia, Margaret Court, terus hidup namun kali ini, ia hadir dengan sedikit tuah.-AGENSI










