KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei mendedahkan cabaran terbesar wakil negara di Terbuka Malaysia bukan lawan di gelanggang, sebaliknya tekanan berat yang terpaksa ditanggung apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Chong Wei selaku 12 kali juara Terbuka Malaysia berkata, bermain di tempat sendiri sering kali lebih mencabar berbanding beraksi di luar negara kerana beban harapan yang mengiringi setiap perlawanan.
Menurutnya, tekanan sering menyebabkan kesilapan teknikal mudah berlaku apabila pergerakan menjadi perlahan dan tubuh pemain menjadi kaku tanpa disedari.
“Biasanya kalau saya bermain di Terbuka Malaysia, saya rasa saya lebih suka bermain di luar negara. Kenapa? Bukan kerana rakyat Malaysia datang menyokong kita, bukan. Tetapi kerana kita mahu berikan persembahan lebih baik untuk rakyat kita, untuk diri sendiri, dan untuk negara.
“Bermain di rumah sendiri, saya rasa tekanan itu lebih berat di bahu kita. Apabila ada tekanan, mungkin ada beberapa kesilapan biasa. Kita boleh nampak pergerakan akan jadi perlahan sedikit.
“Bukan kita sengaja bermain perlahan, mungkin badan itu jadi kaku disebabkan tekanan itu. Tetapi ini bukan alasan. Kita boleh tengok pasa masa depan bagaimana untuk menambah baik perkara ini,” kata Chong Wei.
Prestasi pemain negara pada Terbuka Malaysia yang berakhir kelmarin mencerminkan realiti tersebut apabila beregu wanita utama, Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir di pusingan kedua manakala juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kecundang di suku akhir.
Selain itu beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula paling hampir menamatkan kemarau kejuaraan apabila mara ke final sebelum tewas kepada pasangan Korea Selatan yang juga No.1 dunia, Seo Seung Jae-Kim Won Ho.
Justeru, Chong Wei mahu para pemain negara tidak meletakkan tekanan itu sebagai bebanan sebaliknya menukarkan ia sebagai motivasi dalam kejohanan.
“Dalam sukan, ada menang dan ada kalah. Tetapi yang penting adalah kenapa kita kalah. Kita kena terima, dan lihat masa depan lagi.
“Tetapi kita kena ambil tekanan ini sebagai motivasi. Atlet di mana-mana pun sama, tetapi bagaimana kita tukarkan tekanan itu kepada motivasi,” katanya.










