KUALA LUMPUR: Benteng pertahanan kukuh menjadi kunci kejayaan pasukan hoki 5s lelaki Pahang apabila dinobatkan sebagai juara kategori bawah 21 tahun di Kejohanan Hoki Lima Sebelah (5s) Kebangsaan 2026, hari ini.
Jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad berkata, keupayaan pemain mengekalkan fokus selepas menjaringkan dua gol awal pada minit ketiga dan ketujuh membolehkan Pahang menguasai perlawanan dengan lebih tenang.
“Kita memang merancang untuk mencari peluang awal dan memberi tekanan kepada lawan sejak permulaan.
“Walaupun mendahului perlawanan, saya sentiasa mengingatkan pemain agar tidak leka kerana tempo permainan mampu berubah sekelip mata dalam masa 15 minit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd Sufian turut mengakui tekanan hebat yang diberikan Perak, terutama ketika suku kedua apabila pasukan itu dilihat terdesak mencari jaringan penyamaan, namun gagal disekat barisan pertahanan Pahang.
Dua gol penentu juara buat Pahang disempurnakan oleh Shafiq Ammar Fahmi Suzaini dan Iman Faris Faizo.
Ditanya mengenai perancangan jangka panjang, Mohd Sufian menjangkakan pemain-pemain hoki 5s Pahang berpotensi diserap ke dalam skuad remaja negeri dan kebangsaan, ke peringkat lebih tinggi termasuk temasya Olimpik. – UTUSAN










