BAM lantik tiga jurulatih baharu

BAM lantik tiga jurulatih baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik tiga jurulatih baharu bagi meningkatkan prestasi pemain di semua peringkat.

Tiga jurulatih yang dibawa masuk itu terdiri daripada dua jurulatih tempatan, Yeoh Kay Bin dan Mohd. Zakry Abdul Latif, serta seorang jurulatih dari Indonesia, Harry Hartono.

Harry akan menyertai barisan kejurulatihan perseorangan lelaki, manakala Kay Bin melatih perseorangan lelaki remaja, sementara Zakry beregu wanita kebangsaan.

Harry dan Kay Bin akan bekerjasama rapat dalam struktur kejurulatihan perseorangan lelaki yang kini diketuai Datuk Tey Seu Bock, dengan sokongan K. Yogendran serta Goh Giap Chin.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, yakin pengalaman dan kepakaran ketiga-tiga jurulatih itu mampu memberi impak positif kepada kem negara.

“Kami telah mengadakan perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen, yang mengemukakan senarai calon jurulatih dengan penekanan terhadap kesinambungan pembangunan pemain muda.

“Kami berdua merupakan bekas pemain dan memahami keperluan sebenar dalam aspek kejurulatihan. Kenneth turut memberikan pandangan berhubung peranan paling sesuai untuk setiap jurulatih yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Chong Wei menjelaskan pelantikan Zakry sebagai jurulatih beregu wanita adalah atas permintaan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, selaras dengan keperluan teknikal pasukan tersebut.

Beliau yang juga bekas pemain No.1 dunia itu menegaskan, pelantikan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BAM dalam membentuk sistem pembangunan pemain yang lebih tersusun dan berperingkat, bermula dari peringkat remaja hingga profesional.

“Perkara paling penting ialah semua jurulatih, sama ada di peringkat senior atau remaja, perlu bekerjasama sebagai satu pasukan. Saya sentiasa tekankan bahawa kita adalah satu keluarga dan kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha kolektif,” katanya.

Ketiga-tiga jurulatih tersebut dijadualkan memulakan tugas secara rasmi bulan depan dengan Kay Bin melapor diri pada 3 Februari, diikuti Harry pada 10 Februari manakala Zakry akan memulakan tugas pada 20 Februari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN