Apa sudah jadi, Aaron-Wooi Yik tersingkir di pusingan pertama

Apa sudah jadi, Aaron-Wooi Yik tersingkir di pusingan pertama

Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Diletakkan sebagai pilihan pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sepatutnya memanfaatkan kesempatan untuk memburu gelaran, tetapi, sebaliknya beregu No. 2 dunia itu ditunjukkan jalan keluar di pusingan awal pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Aaron-Wooi Yik tewas mengejut kepada pasangan ke-28 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 22-20, 19-21, 16-21 dalam masa 1 jam 3 minit.

Tanpa kelibat juara dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan gagal diambil kesempatan, sebaliknya permainan kurang bermaya dipamerkan Aaron-Wooi Yik.

Kegagalan beregu lelaki No. 1 Malaysia itu sama sekali tidak diduga selepas mempamerkan prestasi yang baik pada Terbuka Malaysia, dua minggu lalu, walaupun dikecewakan Won Ho-Seung Jae pada perlawanan akhir.

Kekalahan di pusingan pertama tidak sepatutnya terjadi memandangkan status Aaron-Wooi Yik yang merupakan bekas juara dunia, juara Asia dan pemenang pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2020 dan 2024.

Sesuatu perlu dilakukan Aaron-Wooi Yik, agar kegagalan di pusingan awal tidak menjadi tabiat mereka pada penyertaan kejohanan akan datang.

Turut tersingkir di peringkat 32 terbaik ialah beregu remaja negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang kalah di tangan Kaho Osawa-Mai Tanabe dari Jepun 19-21, 18-21 dalam masa 45 minit.

Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi beregu dua negara iaitu Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem yang mengetepikan wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Lucas Ekarat Wedlr 24-26, 21-19, 21-13 dalam masa 1 jam 1 minit.

Pada pusingan kedua, Khamis ini, gandingan itu dijangka berdepan sama ada beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen atau Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dari China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN