AFCON: Nigeria tamatkan kempen tempat ketiga

AFCON: Nigeria tamatkan kempen tempat ketiga

Nigeria turut mempertahankan rekod cemerlang dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Afcon dengan kemenangan ketujuh berturut-turut sejak kejohanan itu diperkenalkan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CASABLANCA: Nigeria menamatkan kempen Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) dengan nota positif apabila menewaskan Mesir 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi penentuan tempat ketiga, awal pagi tadi.

Kejayaan di Stade Mohammed V itu sedikit sebanyak memadam luka Super Eagles yang sebelum ini tewas dua kali menerusi penalti, termasuk kegagalan merebut tiket playoff antara benua Piala Dunia 2026 serta kekalahan separuh akhir kepada tuan rumah Maghribi.

Nigeria turut mempertahankan rekod cemerlang dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Afcon dengan kemenangan ketujuh berturut-turut sejak kejohanan itu diperkenalkan.

Dalam drama penalti, penjaga gol Stanley Nwabali muncul wira apabila menafikan sepakan Mohamed Salah dan Omar Marmoush sebelum Ademola Lookman menyempurnakan sepakan penentu dengan penuh ketenangan.

Perlawanan sebenar berlangsung sengit apabila gol Paul Onuachu pada babak pertama dibatalkan selepas VAR mengesan kekasaran, manakala jaringan Lookman sejurus selepas rehat juga tidak dikira kerana ofsaid.

Nigeria tampil lebih dominan pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan berbahaya memaksa penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir, bekerja keras mengekang asakan lawan.

Mesir yang diketuai Salah gagal menemui sentuhan terbaik apabila kebanyakan gerakan serangan berjaya dipatahkan barisan pertahanan Nigeria meskipun Marmoush dimasukkan sebagai pemain gantian.

Sokongan penyokong Maghribi yang jelas memihak Nigeria serta kegagalan kedua-dua pasukan memanfaatkan peluang dalam masa sebenar akhirnya membawa perlawanan ke penentuan penalti yang memihak kepada wakil Afrika Barat itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN