KUALA LUMPUR: Aaron Chia-Soh Wooi Yik menceriakan kembali susana di Axiata Arena yang suram, selepas beregu No. 2 dunia itu mengesahkan slot separuh akhir menjadi milik mereka pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Beregu lelaki No. 1 negara itu menjadi wakil tunggal Malaysia yang berjaya meloloskan diri ke separuh akhir, selepas membenam seteru ketat dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-19, 21-10 dalam masa 34 minit.
Kemenangan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik merapatkan jurang rekod pertemuan dengan gandingan No. 8 dunia itu kepada 2-4.
Sebelum Aaron-Wooi Yik turun ke gelanggang, dua wakil Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun telahpun tersingkir di peringkat lapan terbaik.
Ekoran kekalahan dua beregu negara itu, bekas juara dunia tersebut menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya menjejakkan kaki ke separuh akhir dan dijadual berdepan satu lagi pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, esok.
Kali terakhir Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir adalah pada edisi 2022 dan selepas empat tahun, mereka akhirnya kembali mengulangi pencapaian sama.
Wooi Yik ketika diminta mengulas mengenai pencapaian itu berkata, kalau bercakap tentang prestasi, dia gembira dengan kemenangan yang dicatat, hari ini.
“Tetapi kita masih ada perlawanan lagi, esok, jadi, kami perlu fokus lagi. Saya rasa memang hari ini pertama sekali kena terima kasih kepada peminat yang menyokong kita.
“Memang masa di gelanggang tadi, sokongan peminat buat kita lebih yakin. Ini kejohanan pertama (tahun ini), sebab yang kalah itu tahun lepas.
“Tahun ini mula semula kosong-kosong. Jadi, memang kita masuk gelanggang pun tak fikir pasal rekod pertemuan sebelum ini. Kami cuma berjuang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Wooi Yik berkata, amat penting untuk mereka kekalkan momentum dan pada ketika ini, hanya mereka yang masih bertahan sehingga ke separuh akhir.
“Sekarang hanya tinggal kami, saya rasa ia bukan satu tekanan. Kami hanya perlu kekal fokus dan jalankan tanggungjawab sebagai pemain senior dalam pasukan. Kami buat bahagian kami dan harap esok kami boleh menang,” katanya.
Bercakap pula tentang aksi separuh akhir, Aaron pula menjelaskan, mereka perlu bersedia berdepan Fajar-Fikri kerana beregu dari negara tetangga itu bukanlah calang-calang lawan.
“Sudah tentu kami berharap dapat perbaiki pencapaian terbaik kami di Terbuka Malaysia. Tapi masih lagi langkah demi langkah. Ada satu lagi hari esok, jadi fokus dan berjuang hingga ke penamat,” ujarnya. – UTUSAN










