PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan beregu remaja negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India, hari ini.
Naib juara Terbuka Malaysia itu hanya mengambil masa selama 21 minit untuk meraih kemenangan straight set 21-12, 11-6 ke atas Khai Xing-Aaron yang menghuni ranking ke-36 dunia.
Ekoran kecederaan belakang yang dialami Khai Xing, beregu muda Malaysia itu tidak melengkapkan permainan dan Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan pertama selepas beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae menarik diri, diberi kemenangan percuma.
Pada peringkat seterusnya, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan beregu No.35 dunia, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami selepas wakil Jepun itu menundukkan beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King dalam pertarungan sengit 28-26, 18-21, 20-22 dalam masa 1 jam 4 minit.
Turut tersingir di pusingan awal, beregu profesional Malaysia, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao yang tunduk kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 18-21, 15-21 dalam masa 28 minit.
Satu lagi pasangan profesional negara yang menghuni ranking No. 7 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengalahkan beregu gabungan dua negara, Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem 19-21, 21-16, 21-10 dalam masa 49 minit.
Menanti Sze Fei-Izzuddin di peringkat 16 terbaik adalah pasangan ke-15 dunia, Lee Jhe Hsuei-Yang Po Hsuan dari Taiwan.
Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, gandingan No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mudah membenam wakil tuan rumah, Kavipriya Selvam-Simran Singh 21-18, 21-6 dalam masa 27 minit.
Pada pusingan kedua, esok, Pearly-Thinaah bakal menghitung pertemuan dengan pasangan ke-23 dunia, Margot Lambert-Camille Pognante dari Perancis.
Thinaah berkata, kemenangan itu merupakan satu permulaan yang baik dan fokus seterusnya ialah memperbaiki kualiti pukulan serta komunikasi antara mereka berdua.
“Komunikasi kami perlu diperbaiki terutama sewaktu keadaan tidak berjalan dengan lancar dan saya rasa itu perkara utama yang perlu kami fokuskan,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan tamat.
Pearly turut senada dengan Thinaah dan berpendapat, selain membina prestasi yang konsisten, komunikasi antara mereka berdua amat penting.
“Kami mahu belajar lebih banyak tentang cara untuk bangkit semula apabila keadaan tidak berjalan lancar. Saya rasa itu perkara utama yang kami mahu pelajari pada tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi satu lagi beregu remaja Malaysia yang berada di tangga ke-25 dunia, Ong Xing Yee-Carmen Ting setelah tewas di tangan gandingan No. 9 dunia, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dari Taiwan 17-21, 15-21 dalam masa 36 minit. – UTUSAN










